Sebahagian kenderaan, termasuk yang diubah suai tanpa kebenaran pihak berkuasa kerana dipercayai terbabit dalam kegiatan lumba haram di sekitar daerah belait
SERIA, Ahad - Polis terus menjalankan tugas mereka bagi memastikan keselamatan awam terutama pengguna jalan raya dengan melancarkan operasi mematahkan kegiatan lumba haram di beberapa yang sudah dikenal pasti dekat sini.
Operasi itu membabitkan 13 anggota Jabatan Siasatan Kawalan Lalulintas Daerah Belait yang diketuai Inspektor Kanan Pelatih Md Ismail Abdullah dengan menyasarkan Jalan Lumut Bypass dan hasilnya 20 orang yang terbabit dalam kegiatan lumba haram ditahan untuk siasatan.
Sebelum operasi, polis melakukan pengawasan terlebih dahulu di empat lokasi dengan melakukan pengintipan sebelum memulakan operasi pada kira-kira pukul 11.15 malam.
Menurut polis, mereka menerima aduan orang ramai mengenai kegiatan lumba haram di beberapa jalan raya antaranya jalan masuk ke Jalan Lorong Tiga Seria, Jalan Perindustrian Anduki, Jalan Badas Bypass dan kawasan jalan Bypass berdekatan dengan kawasan Batalion ketiga Angkatan Tentera Diraja Brunei.
Walaupun aduan sudah lama diterima tetapi kerja pengintipan polis gagal apabila pelumba-pelumba haram itu mempunyai kawalan rapi melalui rangkaian mereka dengan menggunakan telefon bimbit dan walkie-talkie mengesan pergerakan polis terhadap mereka.
Orang ramai mengadu mereka sering mendengar bunyi bising laungan kuat ekzos kenderaan yang melintasi kawasan berkenaan dan kegiatan itu dilakukan pada waktu selepas tengah malam sehingga awal pagi.
Malam tadi operasi dimulai dengan semua lokasi jalan dan penggiat itu tidak dapat melarikan diri dan operasi berakhir kira-kira pukul 2 pagi tadi.
Mereka yang dibawa untuk soal siasat adalah di kalangan remaja berusia 20-an hingga awal 30-an dan kenderaan mereka yang diubah suai tanpa kelulusan yang sah turut ditahan untuk siasatan lanjut.
Yang turut ditahan ialah mereka yang menyaksikan perlumbaan untuk siasatan walaupun beberapa orang cuba melarikan diri tetapi tidak berjaya ekoran jalan yang sudah ditutup lebih awal.
Polis berkata mereka yang terlibat boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 37A(7) Siasatan Lalulintas (RTA) Bab 68 dengan denda minimum $1,000 dan maksimum $2,000 atau penjara selama enam bulan dan pada masa yang sama lesen memandu mereka akan digantung.
Dakwaan lain yang boleh dihadapi ialah memandu dengan kelajuan maksimum di bawah Seksyen 24 RTA bab 68 boleh dikenakan denda sehingga $2,000 dan didakwa di bawah Seksyen 28(1) RTA kerana memandu dengan bahaya denda sehingga $10,000 atau penjara selama dua tahun.
Sehubungan itu pihak meminta mereka yang terlibat dalam kegiatan itu supaya menghentikannya dengan segera demi menjaga keselamatan orang ramai serta sendiri.
No comments:
Post a Comment